KUALA LUMPUR 28 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyertaan
tenaga kerja wanita yang ketika ini berada pada kadar 47 peratus perlu
ditingkatkan bagi memastikan pertumbuhan teguh dan mampan di negara ini.
Perdana Menteri berkata lebih banyak peluang pekerjaan yang berkait
rapat dengan keperluan wanita mesti ditawarkan untuk menggalakkan
penyertaan mereka dalam tenaga kerja misalnya secara bekerja dari rumah,
separuh masa atau waktu kerja anjal.
"Wanita masih belum diwakili secara saksama dalam tenaga kerja.
Ekonomi Malaysia menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.6
peratus tahun lepas.
"Bagaimanapun penyertaan tenaga kerja wanita mesti ditingkatkan jika
kita mahu terus menyaksikan pertumbuhan yang teguh dan mampan," katanya
ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Women Deliver 2013 kali
ketiga di sini hari ini.
Turut hadir Penaung Women Deliver 2013 yang juga isteri Perdana
Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Women Deliver Jill Sheffield
dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani
Abdul Karim.
Najib menegaskan kerajaan melaksanakan dasar untuk menggalakkan
peralihan itu, dengan melakukan perubahan di bawah Program Transformasi
Ekonomi (ETP) yang memperteguhkan keperluan untuk menarik, meningkat dan
mengekal petugas wanita dalam tenaga kerja.
"Kami mempunyai beberapa sasaran yang menyeluruh bagi wanita dalam
tenaga kerja seperti melonjakkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita
kepada 55 peratus, dan meningkatkan jumlah wanita yang bekerja dalam
lembaga syarikat senaraian awam kepada 30 peratus," katanya.
Lebih 3,000 perwakilan, termasuk penggubal dasar, penyokong dan
pemimpin dunia mewakili lebih 150 negara, menghadiri persidangan tiga
hari itu bermula hari ini.
Malaysia menjadi negara pertama Asia diberi penghormatan menganjurkan
persidangan global itu yang sebelum ini diadakan di London dan
Washington D.C.
Acara itu disifatkan sebagai sebagai persidangan global terbesar pada
dekad ini yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan gadis
serta wanita.
Persidangan ini dianjurkan Women Deliver yang beribu pejabat di New York. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.