Tuesday 28 May 2013

Penyertaan tenaga kerja wanita mesti dipertingkat - PM


KUALA LUMPUR 28 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyertaan tenaga kerja wanita yang ketika ini berada pada kadar 47 peratus perlu ditingkatkan bagi memastikan pertumbuhan teguh dan mampan di negara ini.


Perdana Menteri berkata lebih banyak peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan keperluan wanita mesti ditawarkan untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja misalnya secara bekerja dari rumah, separuh masa atau waktu kerja anjal.

"Wanita masih belum diwakili secara saksama dalam tenaga kerja. Ekonomi Malaysia menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.6 peratus tahun lepas.

"Bagaimanapun penyertaan tenaga kerja wanita mesti ditingkatkan jika kita mahu terus menyaksikan pertumbuhan yang teguh dan mampan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Women Deliver 2013 kali ketiga di sini hari ini.

Turut hadir Penaung Women Deliver 2013 yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Women Deliver Jill Sheffield dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.


Najib menegaskan kerajaan melaksanakan dasar untuk menggalakkan peralihan itu, dengan melakukan perubahan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang memperteguhkan keperluan untuk menarik, meningkat dan mengekal petugas wanita dalam tenaga kerja.

"Kami mempunyai beberapa sasaran yang menyeluruh bagi wanita dalam tenaga kerja seperti melonjakkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus, dan meningkatkan jumlah wanita yang bekerja dalam lembaga syarikat senaraian awam kepada 30 peratus," katanya.

Lebih 3,000 perwakilan, termasuk penggubal dasar, penyokong dan pemimpin dunia mewakili lebih 150 negara, menghadiri persidangan tiga hari itu bermula hari ini.

Malaysia menjadi negara pertama Asia diberi penghormatan menganjurkan persidangan global itu yang sebelum ini diadakan di London dan Washington D.C.

Acara itu disifatkan sebagai sebagai persidangan global terbesar pada dekad ini yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan gadis serta wanita.

Persidangan ini dianjurkan Women Deliver yang beribu pejabat di New York. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.