Kami menulis bagi pihak “International Federation of Musicians” (“FIM”), Performers & Artistes Rights (Malaysia) Sdn. Bhd. (“PRISM”), Majlis Muzik Malaysia (“MMM”) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (“PAPITA”).
Di sini kami ingin meluahkan kebimbangan kami terhadap Akta Hakcipta 1987 (“Akta tersebut”) yang sediada, yang mana pada pendapat kami tidak menuruti piawai antarabangsa seperti yang diperuntukkan di dalam Artikel 15(1) dan Artikel 15(2) “WIPO Performances and Phonograms Treaty” (“WPPT”). Malaysia ialah anggota WIPO (Organisasi Harta Intelek Sedunia) dan telah menandatangani 6 perjanjian (treaty) setakat ini berkenaan dengan harta intelek.
Artikel WPPT yang disebut di atas membenarkan pelaku dan penerbit fonogram menerima royalti yang samarata apabila persembahan dan fonogram yang telah direkodkan dimainkan di radio atau dipersembahkan di khalayak umum, samada secara langsung atau tidak langsung. Ia juga memberikan pelaku, penerbit fonogram atau kedua-duanya sekali hak untuk menuntut ganjaran berdasarkan perjanjian kedua-dua pihak.
Artikel 15 (1) dan (2) WPPT memperuntukkan:-
(1) Pelaku dan penerbit fonogram hendaklah berhak terhadap saraan saksama sekali bagi penggunaan secara langsung atau tidak langsung fonogram yang telah diterbitkan bagi tujuan komersil bagi penyiaran atau apa-apa komunikasi kepada umum;
(2) Pihak-pihak di dalam Kontrak boleh menggubal undang-undang Negara mereka bahawa saraan saksama sekali hendaklah dituntut daripada pengguna oleh pelaku atau penerbit fonogram atau oleh kedua-duanya sekali. Pihak-pihak di dalam Kontrak boleh menggubal undang-undang negara, apabila tidak terdapat perjanjian di antara pelaku dan penerbit fonogram, yang memperuntukkan terma-terma yang mana pelaku dan penerbit fonogram hendaklah berkongsi saraan saksama tersebut.
Sungguhpun terdapat WPPT, Akta Hakcipta 1987 hanya menyediakan hak ekslusif kepada penerbit manakala pelaku hanya berhak terhadap saraan saksama. Seksyen 16B (1) dan (2) Akta tersebut menyatakan:-
(1) Jika sesuatu rakaman bunyi diterbitkan bagi maksud komersil atau sesuatu keluaran semula rakaman itu dipersembahkan di hadapan orang awam atau digunakan secara langsung dalam sesuatu siaran atau penyampaian lain kepada orang awam, suatu saraan yang saksama bagi persembahan itu hendaklah kena dibayar kepada pelaku oleh pengguna rakaman bunyi itu.
(2) Saraan tidak boleh dianggap tidak saksama semata-mata kerana dibayar secara sekali bayar atau pada masa pindah hakmilik hak sewaan.
Kami berpendapat bahawa peruntukkan tersebut adalah bersifat diskriminasi kerana pada hakikatnya, pelaku tidak menerima nilai perkongsian yang adil melalui amalan undang-undang yang sediaada.
Ramai pemuzik professional di seluruh dunia bergantung kepada hak-hak yang diperuntukkan di dalam Arikel 15 WPPT sebagai salah satu penyumbang terbesar periuk nasi mereka melalui penyiaran dan komunikasi kepada umum, di samping skim saraan penyalinan persendirian yang mana pengecualian bagi hak untuk membuat salinan peribadi diberikan. Walaubagaimanapun, majoriti daripada pelaku di negara ini terpaksa akur dengan amalan pembayaran secara sekaligus seperti yang dibenarkan oleh undang-undang negara ini dan melepaskan hak esklusif mereka, sedangkan penerbit fonogram menikmati pelbagai bayaran daripada lesen yang diperoleh.
Kami sesungguhnya percaya bahawa pindaan terhadap Akta Hakcipta 1987 dan adaptasi Artikel 15 WPPT adalah satu-satunya cara bagi memastikan supaya hak penyiaran dan komunikasi kepada umum memberikan manfaat kepada kedua-dua pemegang hak. Tambahan pula, adalah tidak adil kepada komuniti antarabangsa sekiranya negara ini kekal sebagai segelintir Negara yang memilih untuk tidak menggunapakai hak saraan saksama seperti yang diperuntukkan di dalam WPPT.
Kami meminta supaya kerajaan Malaysia mempertimbangkan situasi ini, dan untuk memberikan keadilan kepada pemuzik dan penerbit dan menyokong industri kreatif moden di Malaysia dengan memastikan kehidupan golongan professional seni terjamin.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,
No comments:
Post a Comment
Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.