Tuesday 5 February 2013

Forum Islam Dan Keamanan Anjuran MAYC Kedah



Satu forum bertajuk "Islam dan Keamanan" yang telah dianjurkan oleh MAYC Kedah dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim,  Sungai Petani Kedah bertempat di Dewan Munsyi,  Institut Pendidikan tersebut.


Ucaptama bagi forum tersebut telah diberikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat,  Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Februari 2013,  hari Sabtu pada jam 10.30 pagi.

Tun Dr Mahathir menerangkan tentang Islam yang bermakna keamanan di mana kedatangan Islam telah menyatukan perpecahan kabilah-kabilah Arab Jahiliah.

Beliau juga menekankan tentang perpecahan umat Islam pada masa kini disebabkan oleh orang yang mempunyai kepentingan tertentu membuat tafsiran agama mengikut kepentingan diri mereka sendiri.

Di samping itu,  beliau bertanya samada para hadirin iaitu pembaca Al-Quran faham atau tidak apa yang mereka baca disebabkan kerana ianya di dalam Bahasa Arab yang tidak difahami oleh kita.

Tun Dr Mahathir mengatakan beliau membaca penafsiran Al-Quran di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu juga kerana itu bahasa yang dia faham untuk memahami apa yang dikatakan oleh Al-Quran.

Beliau juga berkata tidak patut berlaku kafir-mengkafirkan sesama Islam kerana orang yang tidak menyekutukan Allah itu masih Islam selagi tidak menyembah benda yang lain.

Tun menyatakan seorang askar atau mereka yang mempertahankan agama dan negara pun syahid juga berbanding ahli agama yang hanya duduk mengajar agama kerana jika Islam di serang,  askarlah yang akan berperang mempertahankan agama dan mati syahid.

Beliau juga menerangkan tentang beberapa penafsiran fatwa pada zaman dahulu yang songsang yang mana antara contohnya mengharamkan penggunaan elektrik di masjid dan sebagainya kerana ianya ciptaan kafir yang mana pada zaman ini tidak ada lagi pengharaman tersebut.

Bagi penulis,  sepatutnya ulama-ulama berfikiran lebih terbuka memikirkan penyelesaian masalah perpecahan umat Islam supaya orang Islam lebih bersatu daripada begitu cepat mengharamkan sesuatu kerana agama Islam ini mudah dan tidak perlu disusahkan.

Ucaptama Tun Dr Mahathir adalah dalam gaya bersahaja dan sinis sekali yang merupakan 'signature' beliau dari dulu.


No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.