Thursday 20 December 2012

Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir & Malam Gala Tun Dr Mahathir Legasi Tersohor

Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir diadakan pada 19 Disember - 20 Disember 2012.


Konvensyen selama dua hari ini bertempat di Dewan Tun Hussein Onn,  Pusat Dagangan Dunia Putra,  Kuala Lumpur ianya dianjurkan oleh MDFP (Mahathir Distinguished Fellowship Programme),  Majlis Profesor Negara,  dan Yayasan Wangsa Perdana dengan kerjasama Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia dan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pada malam hari Rabu,  19 Disember 2012,  pada jam 8.00 malam pula telah diadakan Malam Gala Tun Dr Mahathir Legasi Tersohor,  bertempat di Dewan Merdeka,  Pusat Dagangan Dunia Putra,  Kuala Lumpur.

Majlis sepatutnya dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak,  Perdana Menteri Malaysia tetapi beliau tidak dapat menghadirkan diri ke majlis disebabkan urusan di luar negeri.

Tempat beliau telah digantikan oleh Tan Sri Noor Yaacob.

Selepas bacaan doa,  tetamu dijemput menikmati makan malam sambil melihat persembahan yang telah dibuat oleh YBhg Dato Yusni Hamid bersama dengan The Sessionist yang telah menyampaikan 5 buah lagu termasuk lagu "I did it my way".

Ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis Profesor Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur,  YBhg.  Prof. Emeritus Dato' Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.

Terdapat lebih 1000 orang profesor daripada IPTA dan IPTS yang telah menganggotai Majlis Profesor Negara yang merupakan salah satu cara berterima kasih kepada negara di mana semua profesor akan menyumbangkan pemikiran bernas berasaskan fakta dan bukannya emosi.

Beliau juga menyentuh tentang sajak yang telah diberikan oleh Tun Dr Mahathir iaitu "Perjuangan yang belum selesai". 

Sajak Tun Dr. M: Perjuangan Yang Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Selepas itu,  ucapan tahniah sempena hari lahir dan perasmian Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir telah dilancarkan oleh Tan Sri Noor Yaacob yang telah membaca teks ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seterusnya,  acara penyampaian Anugerah Fellowship Mahathir Distinguished Fellowship Programme disampaikan kepada penerimanya iaitu Dr Sven Alexander Schottmann dalam kajiannya yang bertajuk "Islam,  Properly Understood :  Mahathir Mohamad on Religion,  Politics and Malaysian Society" di Universiti La Trobe,  Australia.

Majlis penyerahan cenderahati kepada para penaja Mahathir Distinguished Fellowship Programme pula diadakan selepas itu oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato' Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan juga kepada Tan Sri Noor Yaacob dan Tun Dr Mahathir.

Ianya diikuti oleh upacara memotong pulut kuning berserta dengan ucapan balas oleh YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad.

YABhg.  Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyampaikan ucapan balas selepas itu.

Celoteh dan pantun seloka pula disampaikan oleh Cikgu Ismail Yaakub.

Persembahan daripada "Monsoon Band" Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menyerikan majlis sebelum majlis ditamatkan.

Para hadirin telah mengambil kesempatan untuk mendapatkan autograph daripada YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dan bergambar dengan beliau sebelum majlis berakhir.






No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.