Tuesday 25 December 2012

Tuntutan Dong Zong (ii)

Sebelum membaca artikel ini,  para pembaca disarankan agar membaca Tuntutan Dong Zong [Klik di sini].
 


6.  Apakah langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC?

Kementerian Pelajaran telah menggariskan 8 tindakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC pada 21 Mac 2012 :

*  Kekurangan guru interim seramai 392 akan dicadangkan terus oleh Guru Besar SJKC dan dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri.  Ini bagi memenuhi kekosongan yang sedia ada.

*  Lebih kurang 100 orang guru kaunseling yang tidak faham bahasa Cina akan dikeluarkan serta-merta dari SJKC dan digantikan dengan guru berpengalaman yang dilantik oleh guru besar sehingga mendapat guru yang bersesuaian.

*  Peringkat pertama iaitu dari darjah satu hingga tiga,  guru yang mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris perlulah guru yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina dan peringkat kedua iaitu dari darjah empat hingga enam akan diajar oleh guru khusus dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

*  Subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di SJKC Kurang Murid perlulah diajar oleh guru yang  berkelayakan Bahasa Cina.

*  Lebih kurang 20 orang guru subjek sivik yang tidak faham bahasa Cina akan dikeluarkan dari SJKC.

*  Guru lepasan Bahasa Cina yang mengajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris lebih dari 5 tahun akan diberi latihan khas supaya mereka mendapat kelulusan tambahan untuk mengajar subjek tersebut.

*  Menambah pensyarah Bahasa Cina di Maktab Perguruan supaya lebih ramai guru Bahasa Cina boleh dilatih untuk memenuhi permintaan di SJKC.

*  Seramai 98 orang lepasan Diploma Pendidikan yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina akan dihantar ke SJKC.

7.  Selain itu,  apakah langkah jangka panjang yang diambil oleh Kerajaan bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC?

Kementerian Pelajaran telah menubuhkan Mesyuarat Meja Bulat yang dipengerusikan oleh YB Datuk Dr. Wee Ka Siong,  Timbalan Menteri Pelajaran dan menjemput 5 pertubuhan utama yang dilihat sebagai "Stake Holder" untuk membincangkan cadangan penyelesaian masalah tersebut.  Mereka yang dijemput ialah :

*  Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong),

*  Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong),  C.  Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), 

*  Kesatuan Guru Besar SJKC Malaysia,  dan

*  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK/NUTP).

8.  Kenapa Dong Zong menarik diri dari Mesyuarat Meja Bulat?

*  Pada 5 Mei 2012,  Dong Zong telah menarik diri dari Mesyuarat Meja Bulat dengan alasan bahawa mesyuarat tersebut hanya membincangkan isu-isu teknikal dan bukannya polisi.

*  Selepas menarik diri,  Dong Zong kini sedang mengadakan 14 ceramah di seluruh negara untuk menjelaskan pendirian mereka dan mendesak kerajaan supaya mengubah polisi kerajaan terhadap sekolah pelbagai aliran.

9.  Apakah reaksi Kementerian Pelajaran terhadap tindakan Dong Zong?

*  Kementerian Pelajaran meminta Dong Zong supaya kembali ke meja perbincangan tetapi pada masa yang sama akan terus berbincang dengan 4 pertubuhan utama yang masih setuju untuk meneruskan Mesyuarat Meja Bulat bersama kementerian.

*  Tindakan Dong Zong juga mendapat kritikan dari pelbagai pihak dan ramai yang menyeru mereka untuk kembali ke meja perbincangan kerana tindakan mereka itu dilihat lebih kepada mainan politik daripada usaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.