Sunday 31 March 2013

Beri wanita peluang sama rata - Rosmah




KUALA LUMPUR 28 Mac - Organisasi tempatan digesa mengubah budaya kepimpinan mereka dengan memberi peluang sama rata kepada golongan wanita untuk menjadi pemimpin atau pembuat keputusan.



Menurut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, budaya yang sebelum ini hanya meletakkan lelaki sebagai pembuat keputusan boleh diubah dengan sokongan pihak pengurus tertinggi sesebuah organisasi itu.

"Perubahan budaya itu dapat dilakukan dengan merekrut lebih banyak wanita dan meletakkan mereka berperanan sebagai pemimpin.

"Pihak pengurusan tertinggi perlu mentransformasi organisasi dari hanya suasana mesra wanita kepada meletakkan wanita di tahap tertinggi dalam karier mereka,'' katanya ketika berucap merasmikan Forum Wanita Dalam Kepimpinan Asia Ketiga (WIL Asia) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naseba, Sophie Le Ray.

Rosmah turut merayu organisasi-organisasi itu supaya melatih dan membimbing kakitangan wanita muda berpotensi menjadi pekerja cemerlang.

"Hal ini kerana dengan membimbing mereka, ia dapat membina hubungan emosi dengan organisasi atau syarikat yang sukar untuk dihapuskan,'' jelas beliau.

Selain itu, Rosmah berkata, suasana pekerjaan fleksibel juga penting dalam memastikan wanita dapat menyiapkan diri sebagai pemimpin.

Katanya, wanita berhadapan dengan cabaran besar dalam fasa kehidupan mereka iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan.

"Saya percaya kini merupakan waktu yang sesuai untuk pemimpin-pemimpin wanita bekerjasama, berkongsi idea untuk membantu memenuhi permintaan suasana korporat global,'' ujarnya.

Sementara itu, WIL Asia diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga esok menghimpunkan 33 penceramah terkenal dari 10 negara.

Forum tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Naseba, sebuah syarikat perunding pertumbuhan pasaran beribu pejabat di Perancis dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Sebagai usaha menghargai jasa dan kesungguhan wanita dari rantau Asia dalam bidang ekonomi dan kuasa sosial yang diceburi mereka, anugerah pencapaian WIL diadakan.

Antara pemenang yang menerima anugerah tersebut ialah Pengarah Urusan Kumpulan Sintesa, Indonesia, Shinta Widjaja Kamdani bagi kategori Ahli Perniagaan Wanita Terbaik dan Anugerah Pejuang Perubahan (Lelaki) disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Bakke Salleh.

Anugerah khas Datin Paduka Seri Rosmah Mansor untuk Wanita Dalam Kebajikan pula diberikan kepada Pengerusi Global Peace Festival Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail.

.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.