Tuesday 19 March 2013

PR1MA Untuk Rakyat Berpendapatan Rendah (i)


Hasrat hati menggunung tinggi ingin memiliki rumah idaman.  Tetapi apakan daya tiada kemampuan.  Memikirkan kos sara hidup yang semakin lama meningkat,  apatah lagi tinggal di kawasan bandar dan di pinggir bandar,  hasrat dibiarkan terpendam begitu sahaja.  Dan kini,  siapa sangka peluang datang menerusi perancangan pihak kerajaan menyediakan satu program Perumahan 1Malaysia bagi golongan berpendapatan sederhana ini.



Menyedari kesulitan untuk memiliki rumah berharga tinggi tetapi dalam jangka masa yang sama tidak layak untuk dipertimbangkan dalam projek perumahan awam kos rendah yang sedia ada,  kerajaan berusaha memastikan rakyat sentiasa mendapat manfaat daripada dasar atau inisiatif yang dilaksanakan.  Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merupakan satu lagi agenda kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat sejajar dengan gagasan 1Malaysia : "Rakyat Didahulukan,  Pencapaian Diutamakan".  Pelaksanaan PR1MA juga akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi,  selesa,  berkualiti dan mampu dimiliki.

Tidak dinafikan,  terdapat jurang yang agak ketara dalam menyediakan rumah dalam kategori kos sederhana terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur,  Pulau Pinang dan Johor Baharu.  Kekurangan penawaran perumahan bagi kategori kos sederhana ini adalah didorong oleh faktor kecenderungan pemaju-pemaju swasta membangunakn projek perumahan kos sederhana tinggi dan kos tinggi yang memberikan pulangan yang lebih besar.

Justeru,  sebagai langkah mengimbangi permasalahan tersebut,  pelaksanaan PR1MA akan ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara.  Untuk permulaan,  PR1MA akan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang di mana permintaan untuk rumah-rumah kos sederhana ini dijangka tinggi dan melebihi penawaran.  Pembinaan rumah-rumah ini dirancang supaya berdekatan dengan laluan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT dengan tujuan untuk memudahkan rakyat,  mengurangkan kos pengangkutan dan secara langsung,  dapat membantu golongan ini berjimat dan meningkatkan "disposable income" yang boleh digunakan bagi memperbaiki kualiti hidup mereka.

Parameter

PR1MA ditujukan khusus kepada warga negara Malaysia yang berpendapatan tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan,  swasta ataupun bekerja sendiri.  Bagi memudahkan pelaksanaan PR1MA,  kerajaan telah menggariskan beberapa parameter untuk panduan pihak berkuasa tempatan dan pemaju-pemaju perumahan.

Antara parameter yang telah ditetapkan adalah seperti berikut :

*  Keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

*  Harga jualan setiap unit rumah PR1MA adalah antara RM150 ribu hingga RM300 ribu,  bergantung kepada lokasi dan saiz unit.

*  Pemohon adalah pembeli kali pertama bagi skim PR1MA dan perlu mendiami rumah tersebut (owner occupied).

*  Pemohon boleh mendapatkan pinjaman sehingga 105% daripada institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun.

Bersambung di dalam artikel akan datang.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.