Wednesday 20 March 2013

PR1MA Untuk Rakyat Berpendapatan Rendah (ii)


Bagi merancang dan menyelaras pembinaan PR1MA di seluruh negara serta membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak,  satu Unit Khas di bawah Pejabat Perdana Menteri akan ditubuhkan.  Syarat juga diberikan kepada pembeli unit rumah PR1MA di mana mereka tidak dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.  Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang aktiviti spekulasi dalam kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta-merta.  Skim pinjaman turut disediakan kepada pembeli unit rumah PR1MA yang layak dengan mendapat pinjaman sehingga 105% daripada institusi kewangan terpilih.  Lebihan 5% diharapkan dapat membantu pembeli menanggung kos insurans dan yuran guaman dalam menyediakan perjanjian sewa beli.



Pembeli turut diberi pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman atau bagi tujuan mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan menerusi mekanisme sedia ada termasuk skim ring-fencing,  yang telah ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan.  Pada masa yang sama,  duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah program PR1MA.

Kerjasama

Program PR1MA ini akan dilaksanakan melalui kaedah Public Private Partnership,  yang mana kerajaan dan pihak swasta akan bekerjasama ke arah menjayakan skim PR1MA.  Untuk memastikan kelancaran pelaksanaan skim PR1MA,  kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju-pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara dengan harapan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.  Kerajaan turut membantu pemaju-pemaju yang terlibat dalam mendapatkan laluan hijau bagi mempercepatkan proses kelulusan pemajuan perumahan daripada pihak-pihak berkuasa berkaitan.  Selain itu,  pemaju-pemaju juga digalakkan  agar menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan,  menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.  Pemaju-pemaju juga disarankan agar mengaplikasikan konsep teknologi hijau dan mesra alam dalam pelaksanaan projek PR1MA.  Dengan cara ini,  rakyat bukan sahaja dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki,  tetapi juga dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkonsepkan teknologi hijau dan mesra alam.

Projek

Kerajaan sehingga kini telah mengenal pasti sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang,  Rawang dan Seremban bagi pelaksanaan skil PR1MA.  Sebanyak lapan projek dimulakan pada 2011 dan 2012 dan jumlah bilangan unit rumah yang akan dibina di 20 lokasi tersebut dianggarkan sejumlah 42,000 unit.  Bagi tempoh lima tahun,  sebanyak 5,284 unit rumah akan dibina di mana daripada jumlah tersebut,  sebanyak 1,317 akan dibina pada tahun 2012.  Pada tahun 2013 pula dijangkakan 1,107 unit akan dibina dan unit selebihnya akan dibina pada tahun 2015 dan 2016.  Presinct 11,  Putrajaya telah dipilih untuk menjadi tapak pertama skim PR1MA.  Di bawah projek ini,  560 unit pangsapuri di bina di kawasan seluas 7.6 ekar serta dilengkapi dengan dewan serbaguna,  taska dan tadika,  surau dan lot-lot perniagaan dan kedai.

INFO :

Pada 10 Februari 2011,  kerajaan telah melancarkan Dasar Perumahan Negara bagi memandu,  mengurus dan menyelaraskan perancangan dan pembangunan sektor perumahan ke tahap yang lebih efisien dan sistematik.  Tujuan utama Dasar ini digubal adalah untuk mewujudkan sektor perumahan yang mampan,  cekap dan berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.  Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010),  tumpuan pembangunan perumahan negara adalah untuk menyediakan perumahan awam mampu milik kepada rakyat Malaysia dengan tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah.

Pada Mac 2011,  Perdana Menteri telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku yang disasarkan kepada individu berumur 35 tahun ke bawah,  berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk membeli rumah dalam lingkungan RM100,000 hingga RM220,000.  Kini dalam Bajet 2012,  had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000 untuk pinjaman bersama suami isteri.




No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.