Tuesday, 11 December 2012

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman satu pembaharuan radikal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan dan sedang dibahaskan di Dewan Rakyat adalah bersifat revolusioner dan lompatan berganda daripada segi kebaikannya berbanding undang-undang sedia ada.


Perdana Menteri berkata ini terbukti dengan beberapa prinsip asas yang diperuntukkan dalam rang undang-undang baru itu seperti keperluan untuk mendapatkan lesen perhimpunan akan dihapuskan."Seperkara penting, bahawa hukuman penjara di bawah undang-undang baru ini nanti akan ditiadakan, berbeza dengan peruntukan hukuman penjara yang terkandung dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967. Hukuman yang bakal dikenakan adalah bersifat denda," katanya semasa membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata di bawah rang undang-undang baru, pihak polis yang selama ini sebagai penentu izin kini berubah peranan sebagai pengawal selia undang-undang dan pemudah cara dengan ruang lingkup kebertanggungjawaban yang lebih jelas.

Justeru, kata Perdana Menteri tuduhan pembangkang kononnya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 'mencekik' hak kebebasan rakyat untuk berhimpun adalah tidak benar sama sekali.

Katanya rang undang-undang itu bertujuan memastikan semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata, tertakluk kepada sekatan-sekatan yang didapati perlu demi kepentingan, keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang termaktub dalam Fasal 2 Perkara 10.

"Walau apapun, paling mustahak untuk diperingatkan kepada semua, kerajaan tetap menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang demonstrasi jalanan," katanya.

Semasa membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 untuk bacaan kali kedua pula, Perdana Menteri berkata bagi tujuan penggubalan rang undang-undang itu, Jabatan Peguam Negara telah mengkaji dan merujuk perundangan beberapa negara asing berkenaan perkara itu seperti di Australia, Finland, United Kingdom dan Malta.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 mempunyai 27 fasal dan enam bahagian.

Antaranya, Fasal 4 tidak membenarkan penganjuran dan penyertaan perhimpunan oleh bukan warganegara, perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan dan apa-apa protes jalanan.

Fasal ini juga memperuntukkan hanya seorang yang berumur 21 tahun ke atas boleh menganjur dan menyertai perhimpunan, sementara kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan.

Individu yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke suatu perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak menghadiri suatu perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM20,000.

Fasal 8 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur mengikut akta dan mana-mana undang-undang lain.

Fasal 9 mengkehendaki penganjur, dalam masa 30 hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu pegawai yang menjaga daerah polis di mana perhimpunan itu hendak dibuat.

Seseorang yang tidak mengemukakan pemberitahuan mengenai perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Fasal 15 membolehkan pegawai yang menjaga daerah polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat ke atas suatu perhimpunan bagi maksud keselamatan atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Mana-mana orang yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang dikenakan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Sementara itu, Fasal 20 memberi seseorang pegawai polis kuasa untuk menangkap tanpa waran mana-mana penganjur atau peserta yang enggan atau tidak mematuhi mana-mana sekatan yang dikenakan.

Pegawai polis hendaklah sebelum menjalankan kuasa menangkap di bawah seksyen ini, mengambil semua langkah yang ada untuk memastikan pematuhan sukarela oleh penganjur dan peserta.

Kuasa menangkap tanpa waran diperuntukkan bagi memastikan polis dapat menjalankan tugas untuk memastikan perhimpunan dijalankan secara aman dan teratur.

Fasal 25 memberi Menteri kuasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat sebagai tempat perhimpunan yang ditetapkan, manakala Fasal 26 dan 27 masing-masing memberikan Menteri kuasa untuk meminda Jadual dan membuat peraturan-peraturan bagi perjalanan yang lebih baik peruntukan akta ini. - BERNAMA

Sumber :  BERNAMA,  24 November 2011



Undang-undang negara digubal bagi menjaga kepentingan masyarakat,  jadi bagi kita yang cintakan keamanan dan bukannya nak mencabuli undang-undang negara atau cetuskan huru-hara,  tak perlu takut kepada Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang bertujuan menjaga kebajikan majoriti masyarakat awam berbanding puak minoriti yang cuba nak huru-harakan negara melalui perhimpunan haram atau rusuhan jalanan.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pandangan dan komentar tidak semestinya melambangkan pendirian dan sikap Jakamas. Anda bertanggungjawab sepenuhnya di atas komen anda terhadap sebarang pandangan dan komentar yang diutarakan.